Salam Ukhuwwah
Alhamdulillah kita masih lagi dipanjangkan umur untuk menjengah ke tahun baru hijri 1431H. Sesungguhnya hakikat kehidupan manusia menunjukkan bahawa semakin kita bertambah umur semakin kita hampir dengan kematian. Beruntunglah bagi mereka mereka yang sedar akan hakikat ini dan melakukan persediaan untuk menghadapinya. Setahun telah berlalu dengan pelbagai suka duka mewarnai kehidupan seseorang insan itu. Insan tidak akan terlepas daripada melalui pelbagai pengalaman hidup sama ada susah ataupun senang, pahit mahupun manis. Semua watak , jalan cerita serta aksi -aksi di pentas kehidupan seorang insan itu telah pun dirakam dan direkod secara detail dan tidak tertinggal walaupun sedikit oleh pencatit dan perakam amal manusia yang telah ditugaskan oleh Allah s.w.t iaitu malaikat raqib dan atid. Jika seorang insan memenuhi harinya dengan iman ,amal kebajikan dan dakwah di atas kebenaran dan kesabaran pasti masa yang dilaluinya membuahkan keuntungan bukan kerugian. Namun apakah kita semua sedar akan hakikat ini dan jika kita mempunyai kesedaran atas hal ini adakah kita telah melaksanakan dengan baik dan jika kita lakasanakan adakah pelaksanaannya benar- benar ikhlas kerana Allah s.w.t. Inilah persolan asas yang perlu disedari dan diperhalusi oleh setiap daripada kita.
Ramai diantara kita yang menanam azam apabila tahun baru bermula menandakan permulaan kehidupan yang baru. Setiap muslim diajar oleh Nabi s.a.w untuk memastikan hari yang akan dilaluinya mestilah lebih baik dari semalam atau tidaklah seburuk hari semalam. Begitu juga halnya dengan keazaman yang ditanam mestilah menandakan kita mengimpikan kehidupan yang akan dipertingkatkan nilainya dari tahun sebelumnya. Dalam hal ini senarai keutamaan untuk dijadikan perkara yang diazamkan seharusnya diperhatikan sebaik mungkin. Jika kita benar - benar mahu melakukan peningkatan nilai kehidupan atau pun melakukan perubahan keutamaan dalam kehidupan seorang insan muslim mestilah didahulukan. Apakah keutamaan - keutamaan yang seharusnya didahulukan dalam proses peningkatan nilai dan perubahan nilai kehidupan. Secara umum marilah kita perhatikan apa yang disebut oleh Prof Al Qaradawi dalam membahaskan berkenaan dengan keutamaan. Beliau menyebutkan perkara - perkara yang harus menjadi keutamaan manusia muslim adalah perkara - perkara yang diberikan keutamaan dan disebut secara jelas oleh Al Quran dan As Sunnah. Maka persolan iman dan tauhid, amal soleh dan akhlaq yang mulia mestilah menjadi asas dalam merangka perubahan dan peningkatan kehidupan kita dalam tahun mendatang.
Monday, December 21, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)