Sunday, August 23, 2009

Ahlan wa sahlan wa marhaban ya ramadhan

Salam ukhuwwah dan salam ramadhan

Alhamdulillah kita dipetemukan sekali lagi dengan izin Allah s.wt dengan bulan yang penuh keberkatan penghulu segala bulan iaitu bulan Ramadhan. Bagi orang mukmin , ketika ini lah saat dan masa yang paling ditunggu - tunggu justeru kesempatan bertemu dan bertamu dalam bulan Ramadhan ini adalah nikmat yang besar dek kerana peluang ibadah dan taqarrub serta pengampunan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Setiap saat yang dilalui dalam bulan Ramadhan ini mempunyai harga yang sangat besar kerana setiap saat yang muncul itu ada ganjaran yang sangat besar di sisi Allah jika dimanfaatkan dengan amalan dan kerja buat yang baik dengan mengharapkan redha dan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Bulan yang mulia ini juga perlu dijadikan titik tolak perubahan kepada diri yang inginkan kebaikan secara berterusan. Bulan yang dimuliakan Allah ini menjanjikan peluang bagi memuhasabah diri lantas diisi dengan keazaman dan amalan yang akan melonjakkan kekuatan diri dan jiwa bagi menempuh hari - hari seterusnya yang penuh dengan cabaran dan ujian. Bulan penyucian jiwa dan tazkiyatunnafs ini merupakan peluang terbaik yang diberikan oleh Allah untuk hambanya memperbaiki diri. Beruntunglah bagi semua yang menyedari akan besarnya rahmat dan maghfirah yang diaugerahkan kepada Allah s.w.t dalam bulan ramadhan ini.

Sunday, August 2, 2009

Salam Ukhuwwah,

Perhimpunan mansuhkan ISA yang diadakan pada 1 Ogos yang lalu boleh dilihat sebagai percubaan kelompok anti ISA untuk mendesak kerajaan memansuhkan akta yang disifat sebagai tidak selari dengan semangat undang-undang. Walaupun pihak berkuasa berjaya menghalang GMI untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum tersebut namun GMI berjaya menarik perhatian segolongan rakyat untuk bersama mereka. Gerakan Mansuhkan ISA adalah pertubuhan yang ditubuhkan bagi menggerakkan kesedaran dan juga sebagai kumpulan pelobi bagi usaha memansuhkan ISA. Seingat saya , kumpulan ini telah lama berjuang dengan melakukan pelbagai usaha untuk mendesak kerajaan bagi memansuhkan ISA ynag dianggap zalim oleh mereka.

Pelbagai pendapat dan pandangan telah dilontarkan oleh pelbagai pihak berkenaan dengan akta ini. Saya percaya pihak yang berwajib telah mendengar semua hujah dan alasan yang diberikan. Setelah Dato' Seri Najib mengambil tampuk kekuasaan, antara yang menjadi cadanagn beliau adalah untuk meminda akta ini. Namun sehingga kini masih belum ada usaha yang konkrit untuk meminda akta ini dan rakyat masih lagi menunggu langkah yang akan dimulakan oleh Dato' Seri Najib.

Namun pihak kerajaan dalam apa jua tindakan yang akan diambil harus berhati-hati kerana rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk mereka. Rakyat telah terdedah dengan pelbagai maklumat yang boleh digunakan untuk mengadili setiap gerak tindakan kerajaan. Kelantangan sesetengah golongan rakyat yang menyanggah dasar dan polisi kerajaan tidak harus dipandang sepi. Suara rakyat adalah suara keramat, namun semuanya terletak dalam tangan Allah s.w.t.