Sunday, July 26, 2009

ILMU TANPA AMAL IBARAT POKOK TANPA BUAH

Salam ukhuwwah

Islam adalah agama ilmu, sangat mementingkan ilmu bahkan meletakkan ilmu sebagai syarat yang asas dalam beragama. Itulah prinsip asas yang telah digariskan oleh Islam bagi umatnya. Apabila seseorang mengakui dan mengisytiharkan dirinya sebagai muslim secara automatik kewajipan untuk menuntut ilmu berkenaan dengan agama telah tertanggung di atas bahunya. Kewajipan ini telah dibahas oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka melalui penelitian terhadap dalil - dalil Al Quran dan Sunnah serta kaedah -kaedah pengeluaran hukum yang lain.

Kewajipan ini seharusnya dan semestinya telah difahami dan ditanggapi dengan mudah oleh seorang muslim justeru banyak peraturan serta ajaran agama ini perlu difahami melalui proses pembelajaran dan menggali ilmu itu sendiri. Namun, persoalan yang paling fundamental adalah kemana harus ilmu itu ditabur selepas diperolehi, pastinya ilmu adalah untuk amal bukan untuk di simpan dijadikan habuan minda sahaja akan tetapi ilmu yang diperolehi harus diterjemahkan menjadi amal. Itulah yang sulit dan sukar bagi kita semua. Justeru ilmu atau maklumat yang beku daripada amal tidak mempunyai nilai kerana apa yang memberatkan timbangan di yaumil mahsyar adalah amal yang tersadur daripada ilmu.

Oleh itu, amal adalah natijah sebenar bagi ilmu. Ilmu bukan hanya untuk menjadi alim tetapi ilmu adalah untuk menjadi amil. Melaksanakan ilmu yang sedikit setelah berusaha mencarinya adalah lebih baik daripada berusaha mencari banyaknya ilmu tetapi tersadai di benak minda tetapi tidak mengalir deras menggerakkan anggota. Sungguh benar para sahabat Nabi yang mempelajari 10 ayat daripada Al quran kemudian berusaha mengamalkannya dan tidak melampaui had itu sehingga benar-benar melaksanakannya.

Coretan ini bukan hendak menghilangkan motivasi mencari gali ilmu akan tetapi memberi keinsafan kepada diri dan pembaca betapa ilmu bernafas dengan amal, tanpa amal ilmu akan mati terkubur tanpa nisan. Walaupun secebis hadis yang diketahui tetapi ditukar dengan amal yang seia dan sekata dengan hadis tersebut, ganjarannya adalah sangat besar di sisi Allah terhadap usaha mempelajari hadis itu.

Tetapi itulah yang menjadi kesukaran kita , sukarnya hendak membuahkan amal setelah ditanam dan ditabur benih ilmu. Sudahlah kesukaran ditempuh untuk menabur benih ilmu menjadi pokok yang rendang , kesukaran dan kesulitan bertimpa pula bagi memastikan buah amal menjadi realiti. Itulah gambaran dan bandingan ilmu dan amal. Pokok yang rendanag dengan ilmu mungkin berguna untuk dibuat kayu dann sebagainya tetepi pokok tidak sempurna selagi tidak menghaislkan buha yang ranum lagi enak dimakan. Ilmu yang beku dan jumud tanpa amalan berguna untuk dimanfaatkan maklumatnya sahaja tetapi tidak boleh dirasakan keenakan yang terhasil daripada buahnya.

Wallahua'alam.

Thursday, July 2, 2009

Salam sayang, salam ukhuwwah

Dah lama tak menulis kat blog ni, semakin hari semakin digigit rasa malas tapi dek kerana tak mahu mensia-siakan peluang yang ada, jari ini dipaksa untuk menari-nari di papan kekunci mencoretkan apa yang terlintas di minda.

Sehingga saat ini, aku masih lagi menunggu dengan penuh debar kelahiran anak sulungku, rasa macam tak percaya seolah - olah baru semalam aku memanjat-manjat pohon mangga di sebelah rumah,berseluar pendek penuh keriangan makan pelam sambil mengejek kawan- kawan sebaya. Namun masa sungguh pantas berlalu, Allah menjadikan masa dan Allah bersumpah dengan masa, sehingga saat ini tak ada seorang pun yang boleh mengembalikan masa yang telah berlalu walau secanggih mana pun teknologinya. Masa adalah peluang kita, masa juga adalah ancaman kita , Allah menyebutkan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa akan berada dalam kerugian jika masa berlalu tanpa disegarkan dengan iman, amal dan dakwah.

Pantas masa berlalu, begitu pantas jugalah kita menghambat pengakhiran hidup ini, rupanya kita bukan makin tua tapi makin pendek usia. Bukan masa yang menjadi persoalan tetapi dimana masa yang kita letakkan.

Kalau difikirkan semahu mungkin, timbul risau dan gelisah menanti hari esok yang tidak pasti berbekalkan masa lalu yang tersia tanpa isi. Amaran Allah , Rasul dan pesanan ahli ilmu berkenaan dahsyatnya balasan mereka yang tidak membekal diri dengan kebaikan yang mengatasi kejahatan sudah cukup menggerunkan diri yang berfikir. ....bersambung