Monday, December 21, 2009

Selamat Menghadapi Tahun Baru Hijri 1431H

Salam Ukhuwwah

Alhamdulillah kita masih lagi dipanjangkan umur untuk menjengah ke tahun baru hijri 1431H. Sesungguhnya hakikat kehidupan manusia menunjukkan bahawa semakin kita bertambah umur semakin kita hampir dengan kematian. Beruntunglah bagi mereka mereka yang sedar akan hakikat ini dan melakukan persediaan untuk menghadapinya. Setahun telah berlalu dengan pelbagai suka duka mewarnai kehidupan seseorang insan itu. Insan tidak akan terlepas daripada melalui pelbagai pengalaman hidup sama ada susah ataupun senang, pahit mahupun manis. Semua watak , jalan cerita serta aksi -aksi di pentas kehidupan seorang insan itu telah pun dirakam dan direkod secara detail dan tidak tertinggal walaupun sedikit oleh pencatit dan perakam amal manusia yang telah ditugaskan oleh Allah s.w.t iaitu malaikat raqib dan atid. Jika seorang insan memenuhi harinya dengan iman ,amal kebajikan dan dakwah di atas kebenaran dan kesabaran pasti masa yang dilaluinya membuahkan keuntungan bukan kerugian. Namun apakah kita semua sedar akan hakikat ini dan jika kita mempunyai kesedaran atas hal ini adakah kita telah melaksanakan dengan baik dan jika kita lakasanakan adakah pelaksanaannya benar- benar ikhlas kerana Allah s.w.t. Inilah persolan asas yang perlu disedari dan diperhalusi oleh setiap daripada kita.

Ramai diantara kita yang menanam azam apabila tahun baru bermula menandakan permulaan kehidupan yang baru. Setiap muslim diajar oleh Nabi s.a.w untuk memastikan hari yang akan dilaluinya mestilah lebih baik dari semalam atau tidaklah seburuk hari semalam. Begitu juga halnya dengan keazaman yang ditanam mestilah menandakan kita mengimpikan kehidupan yang akan dipertingkatkan nilainya dari tahun sebelumnya. Dalam hal ini senarai keutamaan untuk dijadikan perkara yang diazamkan seharusnya diperhatikan sebaik mungkin. Jika kita benar - benar mahu melakukan peningkatan nilai kehidupan atau pun melakukan perubahan keutamaan dalam kehidupan seorang insan muslim mestilah didahulukan. Apakah keutamaan - keutamaan yang seharusnya didahulukan dalam proses peningkatan nilai dan perubahan nilai kehidupan. Secara umum marilah kita perhatikan apa yang disebut oleh Prof Al Qaradawi dalam membahaskan berkenaan dengan keutamaan. Beliau menyebutkan perkara - perkara yang harus menjadi keutamaan manusia muslim adalah perkara - perkara yang diberikan keutamaan dan disebut secara jelas oleh Al Quran dan As Sunnah. Maka persolan iman dan tauhid, amal soleh dan akhlaq yang mulia mestilah menjadi asas dalam merangka perubahan dan peningkatan kehidupan kita dalam tahun mendatang.

Tuesday, September 15, 2009

Kenangan Terindah

Selamat diijabkabulkan pada 25 Oktober 2008

Cahaya mata sulung selamat dilahirkan 9 Ogos 2009 - Muhamad Afif Thaqif

Ini lah antara kenangan terindah yang Allah s.w.t kurniakan pada hambanya ini, semoga dengan fasa baru kehidupan ini akan terjelma hikmahnya yang besar.














Sunday, August 23, 2009

Ahlan wa sahlan wa marhaban ya ramadhan

Salam ukhuwwah dan salam ramadhan

Alhamdulillah kita dipetemukan sekali lagi dengan izin Allah s.wt dengan bulan yang penuh keberkatan penghulu segala bulan iaitu bulan Ramadhan. Bagi orang mukmin , ketika ini lah saat dan masa yang paling ditunggu - tunggu justeru kesempatan bertemu dan bertamu dalam bulan Ramadhan ini adalah nikmat yang besar dek kerana peluang ibadah dan taqarrub serta pengampunan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Setiap saat yang dilalui dalam bulan Ramadhan ini mempunyai harga yang sangat besar kerana setiap saat yang muncul itu ada ganjaran yang sangat besar di sisi Allah jika dimanfaatkan dengan amalan dan kerja buat yang baik dengan mengharapkan redha dan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Bulan yang mulia ini juga perlu dijadikan titik tolak perubahan kepada diri yang inginkan kebaikan secara berterusan. Bulan yang dimuliakan Allah ini menjanjikan peluang bagi memuhasabah diri lantas diisi dengan keazaman dan amalan yang akan melonjakkan kekuatan diri dan jiwa bagi menempuh hari - hari seterusnya yang penuh dengan cabaran dan ujian. Bulan penyucian jiwa dan tazkiyatunnafs ini merupakan peluang terbaik yang diberikan oleh Allah untuk hambanya memperbaiki diri. Beruntunglah bagi semua yang menyedari akan besarnya rahmat dan maghfirah yang diaugerahkan kepada Allah s.w.t dalam bulan ramadhan ini.

Sunday, August 2, 2009

Salam Ukhuwwah,

Perhimpunan mansuhkan ISA yang diadakan pada 1 Ogos yang lalu boleh dilihat sebagai percubaan kelompok anti ISA untuk mendesak kerajaan memansuhkan akta yang disifat sebagai tidak selari dengan semangat undang-undang. Walaupun pihak berkuasa berjaya menghalang GMI untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum tersebut namun GMI berjaya menarik perhatian segolongan rakyat untuk bersama mereka. Gerakan Mansuhkan ISA adalah pertubuhan yang ditubuhkan bagi menggerakkan kesedaran dan juga sebagai kumpulan pelobi bagi usaha memansuhkan ISA. Seingat saya , kumpulan ini telah lama berjuang dengan melakukan pelbagai usaha untuk mendesak kerajaan bagi memansuhkan ISA ynag dianggap zalim oleh mereka.

Pelbagai pendapat dan pandangan telah dilontarkan oleh pelbagai pihak berkenaan dengan akta ini. Saya percaya pihak yang berwajib telah mendengar semua hujah dan alasan yang diberikan. Setelah Dato' Seri Najib mengambil tampuk kekuasaan, antara yang menjadi cadanagn beliau adalah untuk meminda akta ini. Namun sehingga kini masih belum ada usaha yang konkrit untuk meminda akta ini dan rakyat masih lagi menunggu langkah yang akan dimulakan oleh Dato' Seri Najib.

Namun pihak kerajaan dalam apa jua tindakan yang akan diambil harus berhati-hati kerana rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk mereka. Rakyat telah terdedah dengan pelbagai maklumat yang boleh digunakan untuk mengadili setiap gerak tindakan kerajaan. Kelantangan sesetengah golongan rakyat yang menyanggah dasar dan polisi kerajaan tidak harus dipandang sepi. Suara rakyat adalah suara keramat, namun semuanya terletak dalam tangan Allah s.w.t.

Sunday, July 26, 2009

ILMU TANPA AMAL IBARAT POKOK TANPA BUAH

Salam ukhuwwah

Islam adalah agama ilmu, sangat mementingkan ilmu bahkan meletakkan ilmu sebagai syarat yang asas dalam beragama. Itulah prinsip asas yang telah digariskan oleh Islam bagi umatnya. Apabila seseorang mengakui dan mengisytiharkan dirinya sebagai muslim secara automatik kewajipan untuk menuntut ilmu berkenaan dengan agama telah tertanggung di atas bahunya. Kewajipan ini telah dibahas oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka melalui penelitian terhadap dalil - dalil Al Quran dan Sunnah serta kaedah -kaedah pengeluaran hukum yang lain.

Kewajipan ini seharusnya dan semestinya telah difahami dan ditanggapi dengan mudah oleh seorang muslim justeru banyak peraturan serta ajaran agama ini perlu difahami melalui proses pembelajaran dan menggali ilmu itu sendiri. Namun, persoalan yang paling fundamental adalah kemana harus ilmu itu ditabur selepas diperolehi, pastinya ilmu adalah untuk amal bukan untuk di simpan dijadikan habuan minda sahaja akan tetapi ilmu yang diperolehi harus diterjemahkan menjadi amal. Itulah yang sulit dan sukar bagi kita semua. Justeru ilmu atau maklumat yang beku daripada amal tidak mempunyai nilai kerana apa yang memberatkan timbangan di yaumil mahsyar adalah amal yang tersadur daripada ilmu.

Oleh itu, amal adalah natijah sebenar bagi ilmu. Ilmu bukan hanya untuk menjadi alim tetapi ilmu adalah untuk menjadi amil. Melaksanakan ilmu yang sedikit setelah berusaha mencarinya adalah lebih baik daripada berusaha mencari banyaknya ilmu tetapi tersadai di benak minda tetapi tidak mengalir deras menggerakkan anggota. Sungguh benar para sahabat Nabi yang mempelajari 10 ayat daripada Al quran kemudian berusaha mengamalkannya dan tidak melampaui had itu sehingga benar-benar melaksanakannya.

Coretan ini bukan hendak menghilangkan motivasi mencari gali ilmu akan tetapi memberi keinsafan kepada diri dan pembaca betapa ilmu bernafas dengan amal, tanpa amal ilmu akan mati terkubur tanpa nisan. Walaupun secebis hadis yang diketahui tetapi ditukar dengan amal yang seia dan sekata dengan hadis tersebut, ganjarannya adalah sangat besar di sisi Allah terhadap usaha mempelajari hadis itu.

Tetapi itulah yang menjadi kesukaran kita , sukarnya hendak membuahkan amal setelah ditanam dan ditabur benih ilmu. Sudahlah kesukaran ditempuh untuk menabur benih ilmu menjadi pokok yang rendang , kesukaran dan kesulitan bertimpa pula bagi memastikan buah amal menjadi realiti. Itulah gambaran dan bandingan ilmu dan amal. Pokok yang rendanag dengan ilmu mungkin berguna untuk dibuat kayu dann sebagainya tetepi pokok tidak sempurna selagi tidak menghaislkan buha yang ranum lagi enak dimakan. Ilmu yang beku dan jumud tanpa amalan berguna untuk dimanfaatkan maklumatnya sahaja tetapi tidak boleh dirasakan keenakan yang terhasil daripada buahnya.

Wallahua'alam.

Thursday, July 2, 2009

Salam sayang, salam ukhuwwah

Dah lama tak menulis kat blog ni, semakin hari semakin digigit rasa malas tapi dek kerana tak mahu mensia-siakan peluang yang ada, jari ini dipaksa untuk menari-nari di papan kekunci mencoretkan apa yang terlintas di minda.

Sehingga saat ini, aku masih lagi menunggu dengan penuh debar kelahiran anak sulungku, rasa macam tak percaya seolah - olah baru semalam aku memanjat-manjat pohon mangga di sebelah rumah,berseluar pendek penuh keriangan makan pelam sambil mengejek kawan- kawan sebaya. Namun masa sungguh pantas berlalu, Allah menjadikan masa dan Allah bersumpah dengan masa, sehingga saat ini tak ada seorang pun yang boleh mengembalikan masa yang telah berlalu walau secanggih mana pun teknologinya. Masa adalah peluang kita, masa juga adalah ancaman kita , Allah menyebutkan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa akan berada dalam kerugian jika masa berlalu tanpa disegarkan dengan iman, amal dan dakwah.

Pantas masa berlalu, begitu pantas jugalah kita menghambat pengakhiran hidup ini, rupanya kita bukan makin tua tapi makin pendek usia. Bukan masa yang menjadi persoalan tetapi dimana masa yang kita letakkan.

Kalau difikirkan semahu mungkin, timbul risau dan gelisah menanti hari esok yang tidak pasti berbekalkan masa lalu yang tersia tanpa isi. Amaran Allah , Rasul dan pesanan ahli ilmu berkenaan dahsyatnya balasan mereka yang tidak membekal diri dengan kebaikan yang mengatasi kejahatan sudah cukup menggerunkan diri yang berfikir. ....bersambung

Monday, June 1, 2009

Satu Malaysia..

Salam Ukhuwwah

Jika ditanya apakah tagline yang paling popular pada hari ini, tentu ramai yang menjawab ia adalah Satu Malaysia, Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Slogan yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ini merupakan gambaran awal stail dan dasar kepimpinan beliau setelah menerajui kepimpinan negara. Antara tinadakan awal beliau bagi memnuhi citra slogan ini adalah mengadakan lawatan ke tiga lokasi yang mewakili tiga etnik utama negara iatu Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfield. Lawatan yang dibaut secara mengejut dan santai itu memperlihatkan keazaman politik beliau bagi menyelami permasalahan rakyat dan denyut nadi golongan terbanyak.
Tindakan beliau ini boleh disifatkan sebagai mengikut jejak Ayahandanya iaitu Tun Razak yang amat dikenali sebagai tokoh pemimpin yang amat dekat dan mesra dengan rakyat kebanyakan. Apa sekalipun kita mengharapkan agar dasar yang mengutamakan nasib untung rakyat akan disuburkan dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan polisi- polisi kerajaan yang konkrit digandingkan selari dengan political will yang ampuh.
Mendahulukan rakyat dan ummah terutama mereka yang tidak bernasib baik merupakan sebahagian daripada ajaran Islam. Sesungguhnya Islam telah lama mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai rasa peduli yang tinggi terhadap keadaan ummat dan suasana sekeliling. Dalam suatu hadis Nabi telah bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang tidak peduli akan nasib dan urusan kaum muslimin maka dia tidak tergolong dalam golongan tersebut"
Dalam hadis ini Nabi menyebutkan sesiapa sahaja yang tidak mempedulikan nasib dan urusan kaum muslimin maka dia bukanlah sebahagian daripada mereka iaitu golongan muslimin tersebut. Hadis ini seolah - olah menggambarkan bahawa sifat kepedulian yang tinggi terhadap umat adalah prasyarat untuk menjadi sebahagian daripada umat tersebut. Ada implikasi dari segi akidah lantaran seseorang itu akan tersingkir daripada label seorang muslim jika tidak peduli akan nasib saudara seislamnya..BERSAMBUNG

Sunday, May 17, 2009

Selamat Hari Guru

Salam



Zaman persekolahan adalah zaman yang paling menerujakan. Dalam zaman inilah insan akan mula mengenal manusia yang bernama guru. Sentiasa terbenam dalam memori kita bahawa insan yang bernama guru ini adalah insan yang tidak kenal erti jemu dan putus asa dalam mencurahkan ilmu guna pedoman buat anak didiknya. Saya percaya setiap ilmu yang dititipkan oleh seorang guru buat anak muridnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Jasa mereka tidak dapat dibalas dengan sebarang nilaian material. Balaslah jasa mereka dengan menjadi insan yang boleh mereka banggakan, gunakanlah segala ilmu yang diajar untuk kemaslahatan agama dan bangsa.

Selamat hari guru,
Terima kasih cikgu...